BERMULA 22 Januari 2022, transaksi tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan berkata pelaksanaan itu akan menjadikan lorong RFID tersedia di seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di pantai barat Semenanjung, selaras kehendak dan keperluan pengguna lebuh raya.
“Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut KKR, transaksi tol menggunakan RFID adalah langkah untuk mengurang kesesakan lalu lintas di plaza tol dan pelaksanaan itu selaras Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar yang termasuk Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong.
Sehubungan itu KKR mengajak pengguna lebuh raya untuk beralih kepada RFID dan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go, ejen pemasaran dilantik atau mana-mana 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.
Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh sekali gus membantu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.
RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai,” kata KKR lagi. – Malaysiapost

