KERAJAAN mengalu-alukan usaha sektor perbankan yang terus menyokong dan membantu peminjam yang menghadapi masalah kewangan bagi penstrukturan semula pinjaman, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata kerajaan mengambil maklum usaha sektor perbankan yang tidak terlalu cepat mengambil jalan mudah untuk terus meletakkan mereka yang benar-benar menghadapi kesulitan dalam senarai hitam peminjam atau senarai muflis.
Sehubungan itu beliau meminta pihak bank terus membantu peminjam yang yang menghadapi kesulitan kewangan untuk membayar semua pinjaman mereka dan menangguhkan tindakan undang-undang terhadap peminjam yang gagal membayar balik hutang.
“Peminjam yang masih memerlukan bantuan disaran segera menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pilihan penstrukturan dan penjadualan semula yang bersesuaian.
“Walaupun kadar muflis berkurangan 50 peratus selepas sektor ekonomi dibuka secara berperingkat sejak Oktober lalu, namun ekonomi Malaysia akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.
“Sehubungan itu, peminjam yang baharu atau masih sukar mendapat pekerjaan terutama golongan B50, wajar disokong sebaik mungkin sehingga mereka mampu berdiri teguh semula bagi memastikan kelangsungan hidup,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Ismail Sabri berkata kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia telah meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000.
Katanya ia untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mungkin masih tidak dapat bertahan dari segi kewangan akibat kesan pandemik.
“Peruntukan ini dibuat berdasarkan Akta Insolvensi (1967), dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (2020),” katanya. – Malaysiapost

