
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan 29 Disember adalah hari terakhir pembayaran saman dengan tawaran pengurangan kompaun bagi negeri-negeri yang cuti hujung minggu pada Jumaat.
Pada masa sama, negeri yang cuti hujung minggu jatuh pada Ahad, tawaran pengurangan kompaun berakhir pada 30 Disember.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata penetapan waktu beroperasi itu ekoran cuti hujung minggu berbeza antara negeri.
Selain itu katanya, ia disebabkan pematuhan tatacara pengurusan terimaan penutupan akaun akhir tahun 2021 oleh Jabatan Akauntan Negara.
Beliau juga memaklumkan semua kaunter pembayaran saman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Daerah (IPD) akan dibuka sepanjang waktu pejabat kecuali cuti hujung minggu dan cuti umum.
“Semua kaunter pembayaran saman hanya dibuka sepanjang waktu pejabat iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau menjelaskan, pembayaran kompaun di portal dan aplikasi MyBayar Saman, kaunter Pos Malaysia dan ATM Maybank adalah sehingga 31 Disember ini. – Malaysiapost
