Pembangkang tidak sokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit- Anwar

0
2

PAKATAN HARAPAN tidak akan menyokong pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang antaranya mencadangkan denda lebih tinggi iaitu maksimum RM10,000 berbanding RM1,000 kini.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu diambil selepas memperinci keseluruhan rang undang-undang berkenaan, mendengar pandangan ahli-ahli parlimen dan maklum balas rakyat yang gusar dengan jumlah denda keterlaluan.

“Ini kerana jumlah denda dan kompaun yang keterlaluan itu mungkin membuka ruang berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘Antara Dua Darjat’.

“Jadi, saya dan saf Pembangkang tidak boleh menyokong RUU ini dalam bentuk yang telah dibentang. Saya telah menyatakan pendirian ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob),” katanya menerusi Facebook.

Difahamkan pindaan itu akan dibahas di Dewan Rakyat pada Khamis, iaitu hari terakhir sidang Parlimen bagi tahun ini.

Terdahulu, media melaporkan, Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 antaranya bagi menaikkan kadar maksimum kompaun terhadap individu yang melakukan kesalahan di bawah rang undang-undang itu, dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Mengikut rang undang-undang itu, individu yang melakukan kesalahan boleh dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 ketika ini.

Pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu juga mencadangkan pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga maksimum RM1 juta.

Selain itu, rang undang-undang tersebut turut memasukkan seksyen baharu mengikut Seksyen 15A iaitu pemberian kuasa kepada pegawai mengeluarkan perintah kepada mana-mana individu yang dijangkiti penyakit atau percaya dijangkiti atau mana-mana kontak rapat untuk memakai atau menggunakan peranti pengesanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here