5 peruntukan baharu, 5 pindaan dalam RUU Akta 342 – Noor Hisham

0
1
dr noor hisham

Lima peruntukan baharu dan lima pindaan dicadangkan dalam pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan mengikut Ordinan Darurat sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata apabila diluluskan Dewan Rakyat ia bakal menyaksikan penurunan kuasa untuk pelaksanaan penguatkuasaan, peruntukan mengenakan tindakan terhadap pertubuhan perbadanan serta penalti am terhadap individu dan pertubuhan perbadanan.

“Pindaan terhadap undang-undang yang sudah berusia 32 tahun sejak dikuatkuasakan 1 April 1989 itu, bakal menangani isu penguatkuasaan Akta 342 apabila menyeragamkan pelaksanaan penguatkuasaan dalam kalangan pegawai agensi berkaitan.

“Ia termasuk tiga peruntukan baharu dan lima pindaan yang sebelum ini wujud dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

“Manakala dua peruntukan baharu itu pula adalah peruntukan yang wujud dalam peraturan yang dibuat sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dan komponen yang berkaitan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, RUU itu adalah akta lama yang berusia 32 tahun dan pindaan yang dibuat terhadapnya sebelum ini hanya membabitkan senarai penyakit berjangkit.

“Justeru, ketika pandemik Covid-19, banyak peraturan digunakan bagi menguatkuasakan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan wabak itu dalam negara,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Ordinan Darurat telah ditamatkan oleh Dewan Rakyat pada 25 Oktober dan Dewan Negara pada 8 Disember.

Sementara itu, Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli, berkata cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan itu membabitkan Bahagian I, Bahagian IV, Bahagian V dan Bahagian VI.

Menurutnya, bagi Bahagian I, ia membabitkan tafsiran terhadap pegawai diberikuasa dalam Seksyen 2 Akta 342, Bahagian IV pula membabitkan Seksyen 10, Seksyen 14A, Seksyen 15A, Seksyen 21A, Bahagian IVA yang membabitkan Seksyen 21B dan Seksyen 21C.

“Pindaan yang dibuat dalam Bahagian V membabitkan Seksyen 22A, Seksyen 24 dan Seksyen 25 manakala Bahagian VI pula membabitkan Seksyen 31 iaitu kuasa membuat peraturan.

“Ia membabitkan perintah pengasingan atau pengawasan terhadap individu yang dijangkiti wabak dan mereka yang disyaki; perintah pemakaian atau penggunaan peranti pengesanan atau alatan yang seumpama dengannya; arahan Ketua Pengarah; penguatkuasaan peruntukan dalam Akta 342 dan kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here