Mansuh Auku selaras Undi 18 – Prabakaran

0
1
KUALA LUMPUR 28 JUNE 2018. Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran. NSTP/SYARAFIQ ABD SAMAD *** Local Caption ***

KETUA Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, P Prabakaran menggesa kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku), selaras dengan pelaksanaan undi 18.

Beliau berkata, Auku tidak wajar diteruskan kerana mengekang kebebasan pelajar, sedangkan undi 18 dilaksanakan.

“Saya berpendapat Auku ini perlu dimansuhkan segera memandangkan undi 18 sudah berkuatkuasa bermula tahun hadapan.

“Jika anak muda berumur 18 tahun sudah boleh menjadi calon pilihan raya, saya fikir adalah tidak logik untuk mempunyai akta seperti Auku ini yang mengekang kebebasan mereka berorganisasi. Ia seolah-olah ‘progressive backward’.

“Tidak wajar kita masih lagi menyimpan akta yang mengekang kebebasan para pelajar sedangkan tahun hadapan seawal 18 tahun kita sudah boleh menjadi calon pilihan raya, pengundi, berkahwin dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Prabakaran berkata, pada Sidang Kamar Khas tahun lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad menyatakan hasrat untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan Auku.

“Namun, sehingga hari ini tidak pernah ada satu pun mesyuarat berkenaan jawatankuasa tersebut dakwa beberapa gabungan mahasiswa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Pengajian tinggi itu untuk membuat keputusan terbaik berhubung status Auku yang bertentangan dengan keputusan undi 18.

“Dengan memberi autonomi dan kebebasan akademik kepada pelajar, ia selaras dengan keputusan kerajaan menurunkan had umur mengundi yang memberi kebebasan kepada anak muda untuk memilih kepimpinan negara,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Noraini menyatakan Auku masih relevan, dan kementeriannya sentiasa terbuka menerima cadangan dan pandangan bagi menambah baik akta itu.

Ia termasuk memperkasakan jawatankuasa teknikal Auku yang terdiri daripada pakar undang-undang, ahli akademik dan bukan akademik daripada universiti awam dan swasta serta penuntut dan alumni.

“KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) responsif ke atas aspirasi pelbagai pihak yang inginkan Auku ditambah baik dari semasa ke semasa. 

“Atas dasar itulah Auku mengalami proses pindaan sebanyak tujuh kali sejak diwartakan pada 1971 hingga pindaan terakhir pada 2019,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here