Pengeluaran i-Citra terakhir perlu untuk ‘long covid’ dalam aspek ekonomi – Ahmad Zahid

0
2

MENTERI Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, diminta mempertimbangkan pengeluaran skim i-Citra sekali lagi dalam usaha memulihkan kembali ekonomi mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ramai rakyat yang belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik berkenaan serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata masih ada golongan rakyat yang belum mendapat pekerjaan yang stabil, manakala peniaga juga belum memperoleh keuntungan dan sebagainya.

“Moratorium bayaran balik pinjaman dan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Citra bakal berakhir bulan ini.

“Bagaimanapun saya difahamkan tidak semua rakyat telah bersedia untuk kembali membayar komitmen mereka. Masih ada belum mendapat pekerjaan yang stabil, yang berniaga juga belum memperoleh keuntungan dan sebagainya.

“Kesan pandemik Covid-19 dan PKP suam-suam kuku ternyata memberi implikasi ekonomi yang sangat teruk,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, pemulihan ekonomi pastinya mengambil masa untuk pulih sepenuhnya bukan sahaja kepada ekonomi negara, malah terhadap ekonomi rakyat.

“Jika kerajaan baharu sedang berusaha memulihkan kewangannya, begitu juga rakyat kebanyakan.

“Jika ada istilah ‘long covid’ dalam aspek kesihatan, ini pula boleh dianggap sebagai ‘long covid’ dalam aspek ekonomi.

“Justeru, ramai berharap Menteri Kewangan memenuhi permintaan rakyat supaya menyambung skim i-Citra,” katanya.

Beliau berkata, pengeluaran itu wajar diberikan kepada pencarum KWSP yang mempunyai simpanan mencukupi untuk mengeluarkan wang mereka sekali lagi.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat bertahan sedikit masa lagi dengan harapan keadaan akan bertambah baik selepas itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here