4 daripada 9 pemandu sudah serah diri

0
1

EMPAT daripada sembilan pemilik kenderaan yang dikesan memotong di lorong kecemasan di laluan Sunggala menuju ke arah Sua Betong memasuki Lebuhraya Seremban-Port Dickson. seperti yang tular di Facebook baru-baru ini sudah menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, terbaharu seorang pemilik kenderaan berusia 55 tahun hadir ke Balai Trafik Port Dickson untuk membantu siasatan pada jam 8.20 pagi tadi.

Menurutnya, lelaki berkenaan adalah pemandu kereta jenis Proton Iswara yang terakam dalam video tular terbabit.

“Lelaki berkenaan berusia 55 tahun bekerja sebagai Penolong Pengarah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini menjadikan setakat ini empat orang telah serah diri ke pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis masih lagi mengesan lima lagi pemandu atau pemilik kenderaan yang terlibat dalam menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan berkenaan.

Aidi Sham berkata, tiga lelaki yang juga pemandu sudah menyerah diri semalam bagi membantu siasatan kes sama.

Menurutnya, mereka adalah pemandu kereta Proton Wira, Perodua Myvi dan Proton Gen-2 yang masing-masing berusia 57 tahun, 46 tahun dan 36 tahun.

“Masing-masing bekerja sebagai pemandu lori, jurujual dan akauntan PBT.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan /Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya.

Terdahulu tular video berdurasi 43 saat itu yang menunjukkan sembilan kenderaan menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan jalan raya dipercayai berlaku antara jam 2 hingga 3 petang Ahad lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here