Aktiviti berbasikal dilarang di lebuh raya – PDRM

0
2

LEBUH raya dan jalan yang sibuk bukanlah tempat sesuai untuk beriadah, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias .

Adalah dilarang aktiviti berbasikal di lebuh raya dan mana-mana individu yang ingkar melakukan aktiviti itu boleh didenda hingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Azisman berkata, kesalahan itu ada dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Di semua plaza tol, ada papan tanda yang memaklumkan larangan berkenaan. 

“Dari segi penguatkuasaan, juga ada peruntukan undang-undang khusus mengenai perkara itu iaitu Seksyen 79(2) akta sama kerana mengabaikan isyarat lalu lintas.

“Adalah amat penting soal keselamatan semua pengguna lebuh raya diberi keutamaan.

“Langkah yang bijak, pilihlah laluan di lokasi sesuai bagi mengelakkan insiden tidak diingini,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi status yang dimuat naik di Facebook memaklumkan tindakan itu boleh diambil mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Aktiviti sukan berbasikal kini menjadi satu hobi yang semakin diminati ramai di Malaysia. Namun anda dinasihatkan supaya mematuhi arahan larangan berbasikal di lebuh raya.

“Sekiranya anda ingkar larangan tersebut, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu melarang atau menyekat daripada menggunakan kenderaan di atas mana-mana jalan yang tertentu,” katanya.- Malaysiapost