BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal seolah-olah dihantui bayang-bayangnya apabila tidak henti-henti menyerang dan mengaibkan dirinya.
Musa berkata, sebagai Ketua Menteri, Mohd Shafie sepatutnya fokus urusan pembangunan, bukan berpolitik sepanjang masa.
“Ada orang cakap, Shafie ini dia bangun saja terus nampak muka saya, dia ini mungkin takut dengan bayang-bayang saya, sedangkan saya bukan lagi calon, bukan lagi ketua menteri.
“Mana ada ketua menteri yang selepas dilantik saja kerja dia buka fail untuk mencari kesalahan kerajaan atau ketua menteri terdahulu.
“Sepatutnya dia beri tumpuan kepada pembangunan Sabah. Ini dia (Shafie) tahu umum saja,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Musa berkata demikian pada majlis bersama rakyat Kiulu yang turut dihadiri calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, Datuk Joniston Bangkuai, di Tuaran.
Musa berkata, rakyat kini sedar kerajaan negeri pimpinan Warisan sangat teruk sehingga prestasi ekonomi Sabah jatuh.
“Pada 26 September ini, kita ada pilihan raya. Ingat, jangan salah pilih, kalau dulu mereka kata ubah, ini kali kita ubah balik.”
Sementara itu, Musa menyifatkan lawan Joniston di DUN Kiulu, iaitu Presiden Upko, Datuk Madius Tangau sebagai ‘raja segala katak’ kerana menyebabkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Sampai hati Madius, saya banyak bantu dia sebelum ini, dia jadi menteri di Persekutuan tetapi sebab dialah kerajaan kita dulu jatuh.
“Kita bukan kalah, BN ada 31 kerusi, Warisan dan sekutu mereka 29 kerusi tetapi Madius membawa Adun dia melompat, dialah raja segala katak,” katanya.
Katanya, beliau ke Kiulu untuk membantu Joniston berkempen bagi memastikan kemenangan Parti Bersatu Sabah (PBS).
“Joniston seorang pemimpin yang baik dan banyak membawa perubahan di Kiulu. Oleh itu, tiada sebab untuk pengundi di sini menukar beliau,” katanya. – Malaysiapost

