PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan ‘Friends of BN’ tidak akan bertanding di kerusi milik MIC pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga Presiden Umno berkata, MIC akan tetap bertanding di kerusi-kerusi tradisi mereka tanpa perlu ada kegusaran.
Tegasnya, Umno dan parti komponen lain atau ‘Friends of BN’ akan berperanan untuk membantu calon-calon MIC menang pada PRU nanti.
“Saya akan pastikan di depan semua perwakilan ini, ‘Friends of BN’ tidak akan bertanding di mana-mana kerusi MIC.
“Kalau mereka bertanding, itu kerusi yang tidak ditandingi oleh MIC malah saya akan pastikan mereka membantu MIC untuk menang nanti. Jangan risau dengan mereka,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazzette.
Beliau berkata demikian ketika Perhimpunan Agung MIC ke-75 hari ini.
Terdahulu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran hari ini melahirkan kegusaran dengan cadangan untuk memberikan kerusi-kerusi MIC kepada parti mesra BN lain yang turut mewakili masyarakat India pada PRU akan datang.
Malah Vigneswaran tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba bertanding di kerusi tradisi MIC selain mahu pucuk tertinggi BN untuk memberikan kerusi yang boleh menang pada PRU akan datang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberi maklum balas terhadap permintaan Vigneswaran yang mahu semua penyelaras kerusi Parlimen dan DUN dilantik segara.
“Permintaan MIC saya dengar tentang kerusi winnable dan juga pelantikan penyelaras secepat mungkin. Beri saya dua minggu dari sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta MIC mengenepikan perbezaan politik dan isu politik dalaman demi kemenangan besar BN pada pilihan raya.
“Tan Sri Vicky yang saya sudah kenal lebih 23 tahun, saya mohon kepada anda jangan lagi toleh belakang. Kita mara ke hadapan, semua masalah kita depani dengan cekal. Kelak kita akan berada di puncak kuasa yang akhirnya akan memberi kesenangan kepada rakyat. BN perlu jadi dominan semula,” katanya.
Namun, Ahmad Zahid mengingatkan BN tidak boleh terlalu seronok dengan kemenangan dua pertiga di Melaka kerana ia memerlukan kemenangan luar biasa pada PRU akan datang.
“Sebagai pimpinan politk, kita juga perlu berubah gelagat politik. Kita perlu berubah, lebih rendah diri.
“Rakyat benci apabila kita tunjuk kekayaan, tidak peduli dengan akar umbi, rakyat mahu kita tangani isu mereka, harga barang perlu di tangani, moratorium dan banyak lagi. Inilah yang di harapkan oleh rakyat daripada pimpinan BN,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/ Barisan Nasional

