Pemilihan Umno perlu diadakan sebelum 2022 berakhir – Tok Mat

0
1

PEMILIHAN Umno memang perlu diadakan pada penghujung tahun 2022, demikian kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, pemilihan parti boleh diadakan November tahun depan dengan pemilihan peringkat cawangan diadakan paling lewat pada Julai.

Menurutnya, perkara itu dinyatakan selepas mengambil kira situasi pemilihan Umno yang perlu diadakan sebelum hujung tahun depan, termasuk keperluan untuk parti menyelesaikan aduan diterima ketika pemilihan berlangsung.

“Pemilihan parti ini memang perlu diadakan tahun depan, sebab penggal yang ada ini akan berakhir sehingga hujung Disember 2022 nanti. Jika habis penggal hujung tahun, pemilihan di peringkat cawangan perlu diadakan awal iaitu selewat-lewatnya Julai.

“Dua bulan lagi untuk kita tangguhkan mesyuarat antara cawangan dan bahagian kerana semasa musim pemilihan ini, macam-macam perkara, aduan-aduan mesti kita selesaikan dahulu sebelum adakan mesyuarat perwakilan bahagian,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Mengulas mengenainya, Mohamad berkata, dua bulan selepas pemilihan di peringkat cawangan, Umno boleh mengadakan pemilihan pusat dan bahagian yang dibuat serentak di bahagian-bahagian.

Ditanya pandangannya berkaitan pemilihan Umno diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung, Mohamad berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan supaya lima orang kepimpinan tertinggi parti akan mengadakan perbincangan mengenainya.

“PRU15 ini terpulang kepada pucuk pimpinan parti dan negara untuk berunding dan mencari kata sepakat dengan parti sudah bersedia dan kerajaan juga sudah bersedia. Walaupun kita mahu PRU15 awal, yang boleh bubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri ialah Yang di-Pertuan Agong.

“Pemimpin parti dan pemimpin kerajaan akan duduk bersama-sama, pemilihan parti dan juga PRU15 akan dibincangkan bersama, kita mahu cari yang baik, maka apabila kita berunding sama-sama nanti, kita akan dapat kata sepakatnya,” katanya.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ketua Umno Rembau berkata, tiada sebarang cadangan dalam mesyuarat MKT Umno baru-baru ini supaya lima jawatan tertinggi dalam parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu kelak.

“Kami tidak membincangkan itu, Umno parti demokrasi, siapapun boleh mencabar, ramai yang mahu cabar jawatan Presiden, Timbalan presiden, Naib Presiden, Umno mengamalkan demokrasi yang benar-benar demokrasi, tidak macam dahulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here