Tak mustahil Harimau Malaya tumpaskan Vietnam – Piya

0
2

MESKIPUN Vietnam gah hadir selaku juara bertahan dan diletakkan sebagai pilihan menjuarai Piala AFF 2020, tidak bermakna pasukan itu tidak boleh ditewaskan.

Bekas pemain Harimau Malaya, Mohd Badhri Radzi tampil menjelaskan, tiada yang mustahil anak buah Tan Cheng Hoe membenam Vietnam di Stadium Bishan, Singapura malam ini.

Dia yang lebih mesra dikenali Piya menegaskan, lawan Malaysia malam ini tidak kebal dan jika kena percaturannya Vietnam pasti tewas seperti mana dilakar pada edisi 2014 dulu.

Piya yang berada dalam skuad kebangsaan semasa saingan Piala AFF 2014, menjelaskan, sejarah membuktikan Vietnam mampu ditewaskan selepas kecundang 2-4 kepada Harimau Malaya pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh.

“Pada 2014 kita tewas 1-2 di Shah Alam dan perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 di Vietnam. Tapi dengan keyakinan tinggi semua pemain kita berjaya menewaskan mereka 4-2 di Hanoi.

“Sebab itu saya kata tiada yang mustahil, nak selesa kita kena menang 1-0 pun sudah cukup buat Malaysia. Semua pemain hanya perlu yakin kepada diri sendiri dan semua rakan sepasukan.

“Jangan terlalu fikir kelebihan Vietnam bagi mengelak daripada tekanan dan pemain hanya perlu turun beraksi seperti biasa.” katanya dipetik Cakap Sukan, hari ini.

Piya yang juga bekas kapten Kelantan berkata, skuad kebangsaan kini berada dalam keadaan yang baik sekali gus mengundang gerun Vietnam.

Dia menegaskan, prestasi penyerang Safawi Rasid dan rakan sepasukan mempamerkan permainan baik ketika menewaskan Laos tempoh hari, mampu menterjemahkan kemenangan kepada Malaysia malam ini.

“Safawi dan Arif Aiman ketika ini luar biasa, mereka mampu lakukan lebih baik, begitu juga rakan sepasukan lain yang memiliki kelebihan masing-masing,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here