Dakwaan terdapat usaha ketepikan Anwar perlu dibuktikan – Shamsul Iskandar 

0
3
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=372246157605426&set=pb.100044601331885.-2207520000..&type=3

DAKWAAN terdapat pemimpin DAP merancang untuk mengenepikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti didakwa bekas Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau perlu dibuktikan. 

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata dakwaan Dr Boo itu seharusnya dijelaskan kepada Pengerusi PH, bukan dibuat di media yang akan menimbulkan lebih banyak ketegangan antara parti komponen PH.

“Pendedahan terkini Dr Boo yang menegaskan secara khusus sebahagian pimpinan DAP terutama bekas menteri dan timbalan menteri ketika PH menjadi kerajaan dahulu tidak mahu lagi menerima kepimpinan Anwar tentunya mengejutkan. 

“Saya menggesa Dr Boo tampil dan mengambil tanggungjawab mengemukakan penjelasan lanjut kepada Pengerusi PH sendiri dan tidak melemparkan tuduhan atau serangan menggunakan media,” katanya seperti dilaporkan portal Suara Keadilan. 

Semalam sebuah portal berita melaporkan Dr Boo mendakwa beberapa pimpinan kanan DAP yang ‘dahagakan kuasa’ mahu mengenepikan Anwar dan bergerak bersama Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan semula Kerajaan Persekutuan. 

Bagaimanapun Dr Boo tidak menamakan seorang pun daripada pemimpin yang didakwanya itu. 

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata meskipun dilanda beberapa isu selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru baru ini, situasi politik dalaman PH masih tenang dan tiada desakan kuat mahukan Anwar berundur. 

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menambah pimpinan PH masih berpegang teguh kepada deklarasi Port Dickson yang mencadangkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri PH. 

“Deklarasi Port Dickson selepas pemukiman PH awal tahun ini telah mengikat suatu konsensus bahawa PH memutuskan Anwar akan mengetuai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here