PRN Sarawak: PKR dakwa GPS langgar syarat berkempen 

0
2

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang didakwa menggunakan dewan pengundian bagi tujuan kempen parti pemerintah negeri itu. 

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution mendakwa GPS menggunakan Dewan Serbaguna Long Latei di DUN Telang Usan untuk tujuan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang sedang berlangsung.  

Katanya, dewan serbaguna itu dipenuhi poster calon dan bendera GPS yang mana berlangsungnya program agensi kerajaan negeri. 

“Hari ini saya melihat satu lagi kejanggalan di Dewan Long Latei mendapati sedang berlangsung satu program kerajaan negeri Sarawak di bawah Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang berlindung di sebalik apa yang disebut sebagai program kajian masyarakat Penan yang melibatkan pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). 

“Dewan komuniti Long Latei ini adalah di mana tempat akan berlangsungnya proses pengundian pada 18 Nov nanti. SPR akan menggunakan dewan ini untuk proses pada hari mengundi. 

“Tapi, kita boleh lihat dewan ini dipenuhi poster calon dan bendera GPS yang terang-terang sebenarnya menyalahi peraturan dan undang-undang pilihan raya,” dakwanya dipetik Malaysiakini, hari ini.  

Susulan itu, Saifuddin meminta SPR bertindak segera terhadap agensi dan jabatan kerajaan negeri yang berkempen untuk parti politik. 

“Tempoh kempen 12 hari ketika ini, berlaku penglibatan jabatan dan agensi kerajaan berlindung di sebalik kerajaan sebenarnya sedang menjalankan kempen untuk GPS. 

“Adalah salah bagi agensi kerajaan menyertai dalam kempen PRN ini. 

“Pendedahan ini saya buat untuk mendesak pihak bertanggungjawab khususnya jawatankuasa pemantauan di bawah SPR melakukan tindakan segera kerana ini jelas pelanggaran terhadap pelbagai peraturan dan undang-undang pilihan raya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here