AKSI pelakon Nora Danish bersama suami, Mohamad Nedim Nazri yang bermain buih dalam tab mandi bukan sahaja mendapat kecaman netizen, malah mengundang teguran golongan agamawan.
Menerusi hantaran di Facebook penceramah terkenal, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff menulis, Allah berduka sekiranya hambanya membuka aib dirinya sendiri serta bangga dengan perkara yang Allah larang dan laknat.
“Kebahagiaan kita tidak perlu untuk diwar-warkan dengan perkara maksiat apatah lagi ia dilarang dalam agama,” katanya.
Penceramah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut menulis, diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA: “Rasulullah SAW bersabda; setiap pengikutku akan diampunkan kecuali orang yang mendedahkan kesalahan mereka.
“Contohnya adalah orang yang melakukan dosa pada malam yang Allah SWT menutupi baginya, sedangkan pada waktu pagi, dia akan berkata (kepada orang lain): “Saya melakukan dosa itu malam tadi, sedangkan Allah SWT menyimpan rahsia itu. Pada waktu malam Allah SWT menutupinya, tetapi pada waktu pagi ia mengoyakkan sampul yang disediakan oleh Allah sendiri. (HR Bukhari dan Muslim)
Susulan itu katanya, sebagai peringatan untuk kita yang tidak lepas daripada melakukan dosa, sentiasa perbanyakkan taubat dan memohon keampunan Allah SWT serta memohon kemaafan sesama manusia dan saling menutup aib serta menjaga kehormatan sesama kita.
Nabi SAW berpesan: “Sesiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim)
Semalam gambar aksi main buih Nora Danish bersama Mohamad Nedim dalam tab mandi di sebuah hotel mengundang kecaman netizen.
Lima foto yang dimuat naik di Instagram dan Facebook itu dipercayai dirakam di sebuah hotel di Langkawi. – Malaysiapost

