PRN Sarawak: Ali Biju tarik diri

0
2

CALON Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju, mengumumkan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) hari ini.

Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, berkata beliau akan memberi sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.

Beliau berkata, keputusan untuk tidak bertanding sebagai calon Bebas dibuat bagi memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

“Saya telah mendapat nasihat dari pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara PN dan Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS.

“Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS.

Sementara itu, Ali berkata, keputusan menawarkan diri sebagai calon DUN Krian dalam PRN12 Sarawak dibuat setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi di DUN tersebut.

“Sebagai wakil rakyat yang telah dipilih semenjak tahun 2011, dukungan dan sokongan yang padu ini telah memperkukuh tekad saya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.

“Bagaimanapun, saya menginsafi hakikat bahawa keputusan ini akan menjejaskan hubungan baik di antara Bersatu dan GPS,” katanya.

Sebelum ini, Ali yang juga penyandang kerusi DUN Krian mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi terbabit.

Tindakan Ali itu disifatkan sebagai melanggar perjanjian antara Bersatu dan GPS kerana Muhyiddin sebelum ini mengesahkan parti itu tidak bertanding dalam PRN Sarawak.

Muhyiddin menjelaskan, Bersatu akan membantu GPS dalam pilihan raya negeri berkenaan pada 18 Disember ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here