Persenda OKU: Ras Adiba buat laporan polis, elak insiden berulang

0
1

ENGGAN berdiam dengan tindakan individu mempersenda golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Presiden OKU Sentral, Datuk Ras Adiba Radzi menjelaskan beliau tetap membuat laporan polis.

Ras Adiba berkata, tindakan itu tetap diambil walaupun individu yang mempersendakan OKU itu telah memohon maaf secara terbuka.

Katanya, laporan polis itu bertujuan menghalang insiden menghina OKU terus berlaku dalam kalangan masyarakat seterusnya menjadikan pengajaran supaya orang ramai lebih prihatin terhadap golongan berkenaan.

“Ada juga persatuan OKU dan indvidu lain yang menjaga OKU akan buat laporan polis, jika tidak ini (menghina OKU) akan berterusan, tidak akan berhenti.

“Kita perlu pastikan bahawa (menghina OKU) bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan kami tidak boleh diperkotak-katikkan kerana kami OKU. Kami mempunyai perasaan, kami mempunyai kehendak dan maruah jadi ini mesti dihentikan,” katanya.

Terdahulu, Ras Adiba membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers, Brickfield di Kuala Lumpur, kira-kira jam 2 petang.

Sementara itu, Ras Adiba meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membantu memperkasakan OKU antara lain dengan meminda Akta Orang Kurang Upaya 2008.

“Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 juga mesti benarkan pendakwaan dibuat ke atas mana-mana tingkah laku, timbanglah hukuman maksimum terhadap mereka (yang menghina OKU).

“Seksyen 233 Akta Komunikasi 1988 juga perlulah membenarkan suatu dakwaan jenayah terhadap mana-mana pihak yang buat komen atau kenyataan jelik dan sebagainya terhadap OKU,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya penganjuran kempen jenayah kebencian OKU untuk memastikan OKU terus dilindungi, serta menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan kemudahan khas untuk golongan itu.

Semalam, tindakan seorang lelaki memuat naik video ‘menyalahgunakan’ tempat letak kereta OKU menerima kritikan banyak pihak.

Video asal berdurasi 38 saat yang dimuat naik semula pengguna Twitter itu menunjukkan lelaki tersebut memberitahu bahawa dia dan rakan-rakannya sukar untuk mendapatkan tempat meletak kereta kerana pengunjung terlalu ramai.

Selain itu, satu lagi video tular memaparkan sekumpulan wanita ‘geng basikal’ yang dilihat mengajuk fizikal OKU ketika masuk ke dalam tandas untuk golongan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here