Mahkamah akhirat nanti hakimnya Allah – Najib

0
2

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta semua pihak yang menyokongnya supaya bertenang walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya semalam.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, mungkin inilah perjalanan hidup yang ditakdirkan terhadapnya dan beliau akan hadapi dengan tenang dan reda.

Beliau bagaimanapun tekad terus membela diri dan menegakkan kebenaran di mahkamah dunia.

“Ini bukan pengakhiran juga. Tidak sama sekali. Kerana ikrar saya kekal, berjuang ke nafas akhir untuk kebajikan rakyat.

“Semoga Allah SWT terus merahmati dan melindungi kita dan permudahkan segala urusan kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berkata dia kini bukan sahaja dibicarakan di mahkamah, namun turut dibicarakan di mahkamah rakyat.

“Sudah tentu, setiap individu termasuk saya juga akan dibicara di mahkamah akhirat nanti. Saya mungkin tidak mempunyai kebebasan untuk mengulas lebih lanjut di sini mengenai proses mahkamah.

“Tetapi saya katakan di sini bahawa sehingga hari ini, saya sentiasa menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan telah dianiayai. Saya akan terus membela diri dan menegakkan kebenaran di mahkamah dunia.

“Peringkat rayuan seterusnya adalah Mahkamah Persekutuan dan saya percaya akan mendapat keadilan,” katanya.

Bekas Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut bersumpah tidak terbabit dengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, saya nyatakan atas nama Allah. Wallahi, wabillahi, watallahi bahawa saya tidak minta dan saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan dana RM42 juta itu.

“Mahkamah akhirat nanti hakimnya Allah,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih dan menghargai keyakinan, kepercayaan serta keprihatinan semua pihak yang menyokongnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here