Ambil iktibar kes Najib, cakna sumber duit masuk dalam akaun – Peguam

0
2

KES pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh menjadi iktibar kepada orang ramai.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata daripada kes Najib itu, setiap individu dinasihatkan supaya mengambil tahu sumber kemasukan duit dalam akaun peribadi masing-masing.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berkata, sekiranya sumber yang dipindahkan ke dalam akaun itu adalah meragukan, adukan kepada Bank negara dengan segera.

“Kes Najib ni menjadi pengajaran kepada kita antaranya, sila ambil tahu sumber kemasukan duit dalam akaun kita.

“Jika sumber itu meragukan, sila buat aduan kepada Bank dalam kadar segera,” tulisnya di Facebook.

Beliau berkata, orang ramai juga dinasihati supaya tidak meletakkan kepercayaan penuh kepada individu lain untuk menjaga aliran keluar dan masuk daripada akaun peribadi masing-masing.

“Jangan terlalu percaya 100% kepada pegawai-pegawai kita yang ditugaskan menjaga aliran keluar masuk duit dalam akaun bank kita.

“Sebab nanti kalau jadi apa-apa hal, pegawai kita tu akan jawab tak tahu, saya dah bagitahu bos, saya tak cakap macam tu pun kat bos,” katanya.

Jelas beliau lagi, keadaan akan lebih rumit sekiranya pegawai berkenaan menghilangkan diri.

“Lebih teruk, kalau pegawai itu melarikan diri. Menjawablah bos sorang-sorang,” katanya.

Semalam, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Sebelum ini, Najib memaklumkan beliau tidak tahu wang dalam akaun bank beliau dipindah masuk daripada SRC International Sdn Bhd. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here