Khutbah Jumaat tekankan semangat cintakan tanah air

0
2

Khutbah Jumaat hari ini menekankan akan tanggungjawab bagi menjaga dan menyayangi negara tercinta sempena hari Malaysia 16 September.

Hari Malaysia yang disambut setiap tahun bagi memperingati penubuhan Persekutuan dalam penggabungan bersama Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Khatib mengingatkan jemaah sambutan Hari Malaysia disambut bagi menyedarkan orang ramai bahawa kita sayangkan Malaysia dan mahukan negara terus aman, stabil serta maju.

“Kita perlu jaga nikmat ini dengan iman dan takwa kepada Allah, patuh pada undang-undang negara dan berakhlak mulia sesama kita.

“Sebaliknya jika kita kufur dan ingkar kepada Allah, melanggar dan mengkhianati undang-undang negara, maka kesannya amatlah buruk apabila nikmat keamanan dan kemakmuran itu ditarik balik oleh Allah SWT. Akhirnya negara akan ditimpa kemusnahan dan rakyatnya dilanda kesengsaraan.

“Sesungguhnya keselamatan negara, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi adalah tiga asas penting kepada keutuhan sesebuah negara,” kata khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Apa yang penting adalah keamanan dan kemajuan negara sekarang ini hendaklah dipertahankan dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni dan rakyat yang berdisiplin serta berbudi pekerti mulia.

Cintakan negara bererti menjaga, memaju dan mempertahankan serta memupuk semangat perpaduan, kesetiaan yang tidak berbelah bagi untuk memastikan keamanan dan kemakmuran negara kita terus kekal. Contoh, Rasulullah SAW sendiri pernah melahirkan kecintaannya kepada Mekah sebagai tempat kelahirannya dan Madinah sebagai tempat menetap dan memajukannya dengan petunjuk Allah SWT.

“Sesungguhnya bumi Malaysia yang kita pijak inilah tanah tumpahnya darah kita dan disinilah perlunya kita tanamkan kasih dan cinta kepada negara ini berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW agar terus kekal aman dan maju sebagaimana yang kita nikmati sekarang.

“Pada masa yang sama, kita juga bertanggungjawab bersama menjaga kesucian agama, kesejahteraan hidup rakyat dan kedaulatan negara dari sebarang anasir pencemaran, keganasan, kerosakan dan pencerobohan.

“Marilah kita bersatu atas dasar akidah Islam yang pasti dan disimpul mati. Bersatu dalam apa jua situasi, bersatu teguh menghadapi persekitaran dan ancaman musuh yang terang dan terselindung,” kata khutbah itu lagi.

Bersatunya umat Islam adalah kekuatan paling dasar ke arah pembinaan Khaira Ummah (umat terbaik). Umat Islam berhak untuk berbeza pendapat, apalagi dalam soal urusan duniawi, namun umat Islam hendaklah terus bersatu dalam fikrah dan kefahaman mengikut garis, prinsip-prinsip penegasan al-Quran dan al-Hadis serta prinsip persaudaraan Islam yang kukuh.- Malaysiapost