Muhammad Mustakim Ramli
SERAMAI 101 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 86 daripadanya dikompaun, manakala 15 lagi direman.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka membabitkan 26 individu, ingkar perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) (24), penjarakan fizikal (19) dan gagal menyediakan peralatan dan merekod butiran diri (13).
“Selain itu, tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 10 individu, menjalankan aktiviti kelab malam dan pub enam individu serta premis beroperasi lebih masa (3).
“Sebanyak 3,165 Pasukan Pematuhan membabitkan 13,133 anggota membuat pemantauan di 3,569 pasar raya, 4,811 restoran serta 1,380 penjaja, 1,029 kilang, 1,137 bank dan 718 pejabat kerajaan.
“Turut dipantau 1,610 terminal pengangkutan darat, 227 terminal pengangkutan air serta 101 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihak berkuasa menahan 88 PATI dalam Operasi Benteng semalam, bersama empat tekong serta seorang penyeludup.
“Dalam operasi berkenaan pihak berkuasa turut merampas lapan kenderaan darat yang digunakan PATI berkenaan.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya. – Malaysiapost

