DSV nafi ayam dari Thailand, China tidak sah, tidak halal

0
2

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DSV) mengesahkan kesemua loji ayam yang disenaraikan di laman sesawangnya adalah masih sah untuk mengeksport ke Malaysia.

Menerusi kenyataan hari ini, DSV memaklumkan setakat ini terdapat sembilan loji ayam yang diluluskan untuk mengeksport daging ayam dan keratan ayam di negara Thailand dan dua di negara China.

Kenyataan itu bagi menjawab mengenai video tular di media sosial membabitkan seorang penceramah bebas yang mendakwa loji-loji ayam Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal.

 “Senarai loji-loji di laman sesawang DVS dikemaskini dari semasa ke semasa dan loji-loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.

“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang DVS untuk makluman pihak-pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

Menurut DSV, Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand iaitu The Central Islamic Council of Thailand dan di China iaitu Shandong Halal Certification Services adalah masih sah.

Menurutnya, tempoh pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu sah sehingga 31 Disember 2023.

“Orang awam diingatkan supaya merujuk kepada Pihak Berkuasa Veterinar, DVS untuk mendapatkan keterangan dan kesahihan sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here