KERAJAAN digesa mengawal akses pornografi yang dilihat semakin menjadi ketagihan dalam kalangan rakyat Malaysia ketika ini.
Gesaan itu disuarakan Ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid di Dewan Rakyat, hari ini yang menurutnya, rakyat Malaysia paling ramai menonton bahan pornografi, berdasarkan data tahun lalu.
“Statistik pada 2020 menunjukkan rakyat Malaysia paling ramai di Asia yang melayari laman web lucah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Walaupun statistik yang dikeluarkan adalah dalam tempoh itu, saya yakin individu yang menonton bahan terlarang itu sebahagian besarnya akan mengalami ketagihan.
“Kerajaan perlu melakukan tindakan atau langkah lebih berkesan untuk menyekat laman web seumpama ini kerana ketagihan seperti ini melahirkan masyarakat yang sihat fizikalnya tetapi mempunyai mental berpenyakit,” katanya. – Malaysiapost

