PROJEK Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang diwartakan dalam Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah, 1960 adalah satu bentuk penindasan kepada pemilik.
Bekas Ahli Majlis Penasihat, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) Syed Badli Shah Syed Osman, berkata ia berikutan masih terdapat kira-kira 110 pemilik belum menurunkan tandatangan untuk meneruskan projek tersebut.
“Jika kerajaan tetap mengenakan AKT 1960 untuk meneruskan projek ini, bererti kerajaan sedang menghalau dan menindas pemilik yang rata-ratanya berbangsa melayu secara paksa.
“Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana Kampung Baru adalah simbolik warisan Melayu yang masih wujud di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Badli Shah berkata, justeru rundingan semula antara kerajaan, pemaju dan pemilik yang tidak bersetuju perlu diadakan segera untuk mencari solusi terbaik masalah itu.
Beliau juga menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk turun bertemu dengan penduduk terjejas secepat mungkin.
Sabtu lalu, penduduk Kampung Sungai Baru tampil memprotes berhubung pembangunan semula kawasan berkenaan, termasuk bayaran pampasan yang didakwa rendah. – Malaysiapost

