Diskaun saman, karnival kerjaya antara pengisian menarik Program 100 Hari AKM

0
1

PROGRAM 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai esok hingga 12 Disember ini yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Program mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengutamakan budaya kerja berprestasi tinggi itu menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung secara fizikal, manakala 100,000 lagi secara dalam talian.

Program berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam itu menyediakan pelbagai aktiviti untuk semua lapisan masyarakat.

Antara aktiviti yang boleh dimanfaatkan pengunjung adalah Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, Jom Masuk Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Diskaun Saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain itu, pelbagai aktiviti untuk golongan belia disediakan seperti I’m Youth, Pertandingan E-Sukan dan Sukan Rakyat.

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri, Wan Azilawati Wan Mahmood berkata program ini juga akan menganjurkan aktiviti Padanan Perniagaan atau ‘Business Matching’, Pameran dan Jualan Usahawan serta Perkhidmatan Langsung Agensi Kerajaan.

“Cabutan bertuah dengan hadiah menarik juga menanti pengunjung, selain program kerohanian seperti Zikir Berkah Keluarga Malaysia, Quran Hour dan Malam Aspirasi Seni,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Pelbagai acara lain turut sepanjang empat hari program di pentas utama, tiga pentas mini dan sukan rakyat, termasuk persembahan Citra Malaysia, peragaan busana tradisi, bual bicara ikon usahawan dan persembahan teater.

Selain itu pertunjukan keroncong, demonstrasi manik, persembahan ‘busking’, dikir barat dan program Wanita Bangkit di pentas mini, sukan rakyat serta kejohanan e-sports.

Pengunjung juga boleh memanfaatkan pelbagai aktiviti dengan menyertai bengkel aspirasi bermula Jumaat ini, termasuk bengkel Jom Masuk IPT, bengkel ‘Better Cities, Better Lives – Towards A Liveable Malaysia’, Rangka Kerja Pelestarian Plastik, Forum Prinsip Kesepaduan Sosial Dalam Membina Keluarga Malaysia: Realiti dan Cabaran, Diskusi Nasional Daya Huni Malaysia dan Seminar Penghijauan Malaysia-Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Seminar Konservasi Harimau Malaya serta pameran ekosistem pekerjaan dan pameran kerja Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sepanjang empat hari program itu juga, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran Tesla oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air di hadapan pentas mini.

Sementara itu Wan Azilawati berkata AKM juga menilai prestasi 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bagi setiap Ahli Jemaah Menteri.

Katanya, pencapaian 100 Hari AKM akan diumumkan Perdana Menteri pada majlis perasmian program tersebut esok.

Beliau berkata sebanyak 31 kementerian telah menetapkan sasaran AKM masing-masing berdasarkan enam teras antaranya menstruktur semula ekonomi, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial.

“Teras lain merangkumi mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh, memperkukuhkan penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here