Umno tidak pernah khianati PAS, malah tawarkan kerusi boleh menang – Asyraf

0
2

UMNO tidak pernah membelakangi PAS dalam memutuskan sebarang tindakan yang berkaitan politik melibatkan kedua-dua parti.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sejak termeterai piagam Muafakat Nasional (MN), Umno konsisten memperkukuhkan gagasan itu apabila terbukti menawarkan kerusi boleh menang kepada PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

“Sebelum PRN Melaka pun kita masih terbuka memberi harapan, kita menghulurkan tangan kepada PAS, kita beritahu PAS secara rasmi keputusan MKT bahawa kita menawarkan kerusi kepada PAS.

“Kita tawarkan kerusi yang boleh menang kepada PAS. Memang boleh menang, memang confirm menang, kawasan yang memang kawasan yang tradisi Umno.

“Diberikan kepada PAS dengan syarat menggunakan lambang bulan, lambang PAS. Kita tak suruh PAS menggunakan lambang Barisan Nasional (BN),” katanya dalam wawancara eksklusif Sudut Pandang terbitan Malaysiapost, hari ini.

Mengulas mengenainya, Asyraf menjelaskan, Umno sentiasa berpegang pada janji yang terkandung dalam piagam MN iaitu menggunakan lambang parti masing-masing dalam sebarang pilihan raya.

“Kerana ini juga keputusan dalam siri-siri mesyuarat sebelum ini MN. Walaupun kita kekal sebagai gagasan MN, tetapi kita sudah sepakat kita akan bekerjasama dalam apa jua pilihan raya mengekalkan logo lambang masing-masing.

“Kita rasa tidak ada masalah pun kerana terbukti dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK), orang BN, orang Umno boleh menyokong mengundi PAS dengan lambang bulan.

“PAS terbukti dalam siri PRK memenang Umno juga seperti di Kimanis dan Tanjung Piai. Jadi terbukti ia memang boleh dilakukan,” kata Asyraf.

Asyraf juga menolak dakwaan Umno bersifat bongkak dan sombong terhadap PAS terutama sekali selepas meraih kemenangan besar pada PRN Melaka bulan lalu.

“Sebab itu di PRN Melaka, sebelum masuk gelanggang lagi kita memberi pengharapan menghulurkan tangan.

“Jadi kalau orang kata Umno bongkak, sombong… jadi saya rasa di mana bongkak dan sombongnya itu kerana tidak pernah sekali pun Umno mengkhianati, membelakangi jauh sekali untuk kita mendada mengatakan kita boleh menang secara individu.

“Bahkan selepas PRN Melaka pun tidak ada satu kenyataan bongkak daripada kepimpinan parti. Kita hulurkan tangan lagi. Bahkan, kita kata harapkan masih ada ruang untuk kerjasama MN ini untuk diteruskan,” katanya.

Hubungan PAS dan Umno dalam MN kembali hangat diperkatakan susulan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Umno mengkhianati gagasan itu kerana enggan menerima penyertaan Bersatu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa kenyataan Abdul Hadi itu telah disalah ertikan oleh media dan tidak bermaksud demikian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here