Bila PAS sertai PN, maka gagal melihat Bersatu masuk MN – Asyraf

0
1

Najamuddin Mohd Nor

PELUANG Muafakat Nasional (MN) menarik Bersatu menyertai gagasan itu tertutup rapat sebaik sahaja Perikatan Nasional (PN) diumumkan sebagai gabungan parti politik secara rasmi.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, semestinya Bersatu tidak berminat menyertai MN ketika itu kerana parti itu memiliki PN yang sama seperti BN berbanding MN yang hanya sebuah gagasan.

“Bila PRN Sabah diisytiharkan secara rasmi, PN telah diumumkan sebagai gabungan parti politik yang sah didaftar di RoS (Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan) dan 19 Ogos 2020 Datuk Seri Takiyuddin sebagai Setiausaha Agung PAS membuat kenyataan secara rasminya menyertai PN.

“Apabila itu berlaku, maka jemputan kita untuk Bersatu menyertai MN, rasanya itu jadi akademik sajalah.

“Kerana Bersatu ialah… dia tak akan nak menyertai MN yang hanya sebagai gagasan. Dia memikirkan soal ‘political survival’ dia. Sudah tentu dia mewujudkan PN yang menyerupai BN,” katanya dalam segmen Sudut Pandang, terbitan Malaysiapost, hari ini.

Mengulas mengenainya, Asyraf mengakui PAS dan UMNO memang tidak berhasrat untuk mendaftarkan MN sebagai pertubuhan politik kerana tidak mahu terikat, di samping membuka ruang lebih luas untuk memperjuangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

Namun, menurut Asyraf, dalam mesyuarat MN pada 17 Julai 2020, kedua-dua parti memutuskan untuk mempelawa Bersatu menyertai gagasan itu.

“Ya, Umno memang boleh menerima Bersatu menyertai MN, dalam mesyuarat itu kita kata, why not Bersatu sertai MN.

“Dan surat yang tular ditandatangani kedua-dua presiden parti itu memang betul bersetuju menerima kemasukan Bersatu ke dalam MN,” katanya.

Asyraf berkara, tindakan PAS menyertai PN menimbulkan rasa terkilan Umno, namun akur dengan pendirian PAS itu.

“Cuma kita sedikit terkilan apabila rakan PAS kita boleh meninggalkan kita begitu sahaja walaupun dalam siri-siri mesyuarat dan kenyataan umumnya mengatakan mereka tidak menyertai PN.

“Tetapi, kita akurlah dengan keputusan PAS, walaupun kita tahu dalam PAS pun bukan semua setuju dan ada yang tidak dimaklumkan berkenaan perkara ini. Itu keputusan dalaman mereka, kita kena akur,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here