SABAH mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh negeri, hari ini.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan syarikat minyak yang dikenali sebagai SMJ Petroleum Sdn Bhd adalah hasil keputusan Perjanjian
Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai antara kerajaan negeri dan syarikat minyak nasional, Petronas.
“CCA ini adalah dokumen yang paling penting antara Sabah dan Petronas sejak 16 Jun 1976, apabila perjanjian pembayaran tunai (royalti) dipersetujui, yang ditandatangani antara Sabah dan Petronas.
“Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah,” katanya pada majlis menandatangani CCA itu di Menara Kinabalu, lapor FMT.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata, sejajar dengan terma dan syarat CCA itu, kerajaan negeri berhasrat menubuhkan syarikat milik penuhnya terbabit secara aktif dalam industri minyak dan gas.
Justeru, beliau menjelaskan, SMJ Petroleum Sdn Bhd dijangka menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sedia ada bagi memastikan terma dan syarat CCA berjaya dilaksanakan demi kepentingan Sabah dan rakyatnya.
“Adalah menjadi aspirasi rakyat kita bahawa Sabah akan mendapat lebih banyak daripada industri minyak dan gasnya,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, satu jawatankuasa bersama telah ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) untuk membincangkan pembabitan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta Petronas.
Menurutnya, sebelum penubuhan jawatankuasa bersama itu, kerajaan negeri dan Petronas telah mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan perbincangan bermula 8 Oktober lalu dan dua bulan kemudian selepas beberapa mesyuarat diadakan serta CCA dimuktamadkan.
“Ini menunjukkan Petronas dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.
“Komitmen kedua-dua kerajaan negeri dan Petronas telah memudahkan kerajaan persekutuan kerana hanya satu mesyuarat jawatankuasa bersama untuk kedua-dua pihak mencapai titik persamaan yang ditetapkan dalam CCA,” katanya. – Malaysiapost

