Najib tak hadir mahkamah, hakim tegur ‘ini bukan kedai kopi’

0
2

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya mengingatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa mahkamah bukan kedai kopi.

Panel hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, menegur peguam bela Harvinder Singh Sidhu dan seorang penjamin yang hadir pada prosiding hari ini, lapor Malaysiakini.

Menurut portal tersebut, panel hakim memberi reaksi kepada penjelasan peguam mengenai ketidakhadiran Najib pada prosiding jenayah hari ini kerana didakwa mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

Terdahulu Harvinder meminta pendengaran yang dijadualkan hari ini berhubung permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd ditangguhkan.

Apabila penjamin tidak dapat menjawab soalan panel hakim mengenai ketiadaan Najib, Abdul Karim mengingatkannya dan peguam bahawa perlu lebih banyak bukti lagi untuk menyokong ketidakhadiran Najib di mahkamah hari ini.

“Tarikh perbicaraan hari ini telah dimaklum dan penjamin telah dimaklumkan. Kita boleh membatalkan jaminan (RM2 juta) dan keluarkan waran tangkap atas ketidakhadiran Najib hari ini.

“Anda sendiri (penjamin) tidak tahu Najib tiada di sini. Anda hanya meneka. Ini bukan kedai kopi, ini mahkamah, jangan main teka-teka sahaja,” kata Abdul Karim.

Panel itu kemudian menolak permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan bagi permohonan bukti baharu hari ini, dan mengarahkan perbicaraan disambung semula pada jam 12.30 tengah hari melalui aplikasi Zoom.

Abdul Karim juga mengingatkan pasukan pembelaan bahawa tarikh keputusan esok untuk rayuan Najib dalam kes SRC belum dilapangkan dan masih diteruskan, sementara menunggu keputusan permohonan bagi mengemukakan bukti baharu.

Mahkamah menetapkan esok bagi membuat keputusan berhubung rayuan Najib untuk membatalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan dikaitkan dengan kes rasuah SRC. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here