DUA pemandu mungkin menyangka mereka terlepas sebarang tindakan selepas memotong barisan di Kilometer 31.8 Jalan Klang – Teluk Intan dekat Jeram, semalam.
Bagaimanapun kedua-dua pemandu berusia 31 tahun menerima saman atas kesalahan tersebut di rumah masing-masing.
Ini apabila polis mengunjungi rumah mereka di Taman Assam Jawa dan Taman Yu di Kuala Selangor kira-kira jam 7 malam tadi, lapor Kosmo!
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata pihaknya terlebih dahulu mengesan beberapa kiriman foto di Facebook memaparkan beberapa kenderaan memotong barisan di kawasan lampu isyarat Simpang Empat Jeram.
Katanya, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 6.30 petang dan penelitian kemudiannya berjaya mengesan nombor pendaftaran dua kereta iaitu Perodua Myvi dan Bezza yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Berpandukan maklumat tersebut, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Selangor kemudiannya telah pergi ke kediaman mereka.
“Hasil soal siasat, kedua-dua pemandu telah mengaku memotong barisan semasa kejadian tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan saman di bawah Rule 6(1)A LN166/59 (Memotong Secara Bahaya/Potong Barisan) telah dikeluarkan kepada kedua-dua pemandu itu.
Sehubungan itu, beliau menasihati mereka supaya memandu dengan bertanggungjawab dan bertimbang rasa kepada pengguna jalan yang lain. – Malaysiapost
Kredit Foto: Kosmo!

