“Cloud First” pacu kesinambungan operasi sektor awam, swasta

0
1

DASAR “Cloud First” menjadi salah satu inisiatif penting Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dalam memacu kesinambungan operasi dan aktiviti dalam sektor awam dan swasta, menerusi penyediaan platform kukuh bagi membantu pemulihan ekonomi negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata kerjasama sektor awam dan swasta menjadi tunjang utama dalam usaha menjadikan Malaysia negara dipacu digital, berpendapatan tinggi dan peneraju ekonomi digital di rantau ini, selaras Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

“Saya yakin, dasar “Cloud First” ini akan memacu pertumbuhan penggunaan perkhidmatan awan (cloud services) di negara ini dengan lebih meluas dan pantas dengan mewujudkan sebuah ekosistem yang kondusif dan kompetitif di peringkat serantau.

“Ekosistem perkhidmatan awan yang mantap mampu meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara ini, sekali gus memberi impak positif kepada pengukuhan ekonomi digital negara.

“Selain itu, bagi menjadikan ekonomi digital negara terus menarik, KKMM menerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sedang menjenamakan semula dan menambah baik MSC Malaysia (MSC),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Annuar berkata MSC baharu bertujuan mengembangkan sektor fokus digital ke seluruh negara dan memangkinkan bidang pembangunan baharu bagi menjana pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.

Katanya, ia turut akan menyokong dan mempromosi penggunaan digital yang meluas, merentasi semua aktiviti ekonomi di Malaysia dan merapatkan jurang digital ke arah pengagihan kekayaan saksama.

“Usaha berterusan ini telah mencapai pelbagai kejayaan, sebagai contoh hari ini, saya menjadi saksi jalinan kerjasama antara CS Cloud Sdn Bhd dan Cloocus Co Ltd bagi mewujudkan perkhidmatan pengurusan awan berskala hiper yang pertama di Malaysia, menerusi penubuhan syarikat kerjasama iaitu Cloocus Sdn Bhd (Cloocus).

“Cloocus akan membangun dan mengendali operasi pengurusan awan “skala hiper” (Microsoft Azure) di Malaysia, iaitu tambahan kepada perniagaan Microsoft sedia ada dan bakal menjadikan Cloocus syarikat Microsoft Azure MSP nombor satu di Malaysia.

“Saya lihat kerjasama strategik yang dibentuk ini akan menjadi pemangkin kepada inisiatif “Bersama Malaysia” iaitu untuk memperkasa ekonomi digital negara secara inklusif merangkumi sektor awam dan swasta serta memacu ke arah negara digital,” katanya.

Menurutnya, kerjasama itu juga selaras semangat Keluarga Malaysia, yang mana rakyat pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan, berganding bahu membangun negara menuju ke arah status negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Saya berharap kerjasama strategik seperti ini akan diperluas lagi, merangkumi sektor perniagaan lain bagi memastikan perkongsian teknologi, dan pengalaman ini akan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan.

“KKMM menerusi agensi di bawahnya seperti MDEC dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa proaktif dan menyokong segala usaha untuk mengukuhkan ekosistem ekonomi digital di negara ini,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here