Hans Isaac bersara dari dunia hiburan?

0
1

BEKAS pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac, 50, memaklumkan dirinya tidak lagi berminat untuk terus berada di dalam industri filem mahupun drama.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana sudah tidak dapat melihat masa depannya sebagai pelakon, penerbit mahupun pengarah.

Katanya, kini beliau memilih kerjaya lain iaitu menjadi seorang usahawan.

“Tidak. Sudah tiada minat… Industri kita dimonopoli pihak-pihak tertentu. Saya sudah tidak nampak masa depan di sini (industri hiburan). Semudah itu.

“Jadi saya telah memilih jalan yang lain, sebagai usahawan,” katanya seperti dilapor Utusan.

Hans berkata, tidak semua penggiat filem dan drama menikmati kesenangan hidup lebih-lebih lagi ketika bersara.

Katanya, hanya sebilangan kecil yang hidup terjamin selepas bersara manakala sejumlah besar yang lain akan terus hidup susah.

“Setiap industri ada rancangan dan jaminan ketika penggiatnya bersara pada umur-umur tertentu.

“Untuk pemain industri kreatif, itu tidak berlaku. Daripada 1,000 orang, mungkin 50 sahaja yang dapat menikmati kelebihan itu. Yang selebihnya akan terus susah sepanjang hidup mereka. 

“Oleh itu, tiada gunanya kita mengejar sesuatu yang tidak menjanjikan kestabilan hidup lebih-lebih lagi selepas kita bersara nanti,” katanya.

Pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac mula menceburkan diri dalam dunia lakonan pada tahun 1995.

Antara filem lakonannya adalah seperti Ringgit Kasorrga, Hanya Kawan, Laila Isabella, Buli dan banyak lagi.- Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Hans Isaac

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here