FIRMA guaman mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon untuk melapangkan tarikh pendengaran permohonan bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan keputusan rayuan itu yang dijadualkan hari ini dan esok.
Permohonan dikemukakan Tetuan Shafee & Co yang ditandatangani Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Mahkamah Rayuan melalui surat bertarikh semalam, susulan anak lelakinya, Muhammad Farhan yang juga peguam dalam pasukan pembelaan disahkan positif Covid-19.
Berikutan itu, peguam lain termasuk Muhammad Shafee kini menjadi kontak rapat atau kontak kasual.
Dalam surat berkenaan, Muhammad Shafee berkata, ketika peguam pasukan pembelaan menyiapkan pemfailan hujahan bertulis bagi prosiding hari ini dan petang semalam, seorang daripada peguam menerima panggilan daripada ibunya yang memaklumkan dia didapati positif Covid-19.
Menurutnya, beliau bersama Muhammad Farhan dan isterinya sebelum itu hadir sambutan dan perjumpaan bersama keluarga serta rakan terdekat yang turut dihadiri peguam terbabit termasuk ibunya, Sabtu lalu.
“Sejurus dimaklumkan perkara tersebut, semua peguam yang berada di firma guaman berkenaan membuat ujian kendiri Covid-19, dengan Muhammad Farhan didapati positif melalui tiga kit ujian berbeza, manakala peguam lain menunjukkan keputusan negatif.
“Tambahan pula, anak guam kami (Najib) hadir di pejabat bagi tujuan semakan dan mengikrar afidavit yang difaikan semalam.
“Oleh itu, semua status aplikasi MySejahtera milik semua yang terbabit berubah kepada sama ada kontak rapat atau kontak kasual dengan masing-masing sedang menunggu masa yang sesuai untuk menjalankan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) Covid-19.
“Oleh kerana perkara di atas, pihak kami mempunyai tanggungjawab sosial kepada mahkamah dan pihak terbabit untuk memaklumkan perkara ini. Kami dengan rendah diri memohon pertimbangan mahkamah untuk melapangkan tarikh pendengaran hari ini dan esok (keputusan) memandangkan perkara yang terjadi,” katanya menerusi surat berkenaan.
Muhammad Shafee berkata, pihaknya tidak menjangka perkara itu akan berlaku, namun mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan semua yang terbabit dalam prosiding rayuan berkenaan.
Mahkamah Rayuan esok akan memutuskan sama ada untuk membebaskan Najib atau mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd.
Sepanjang tujuh bulan lalu, pasukan pembelaan mengemukakan rayuan dengan 307 alasan mengapa Najib tidak patut didapati bersalah atas semua tujuh tuduhan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang dijadualkan bermula jam 9 pagi.
Antara alasan dikemukakan Najib untuk dipertimbangkan ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang membuat keputusan mensabitkannya pada 28 Julai tahun lalu, gagal menimbangkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank milik bekas Perdana Menteri itu. – Malaysiapost

