MPS sita pejabat Azmin, Hilman

0
2

PEJABAT Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham di Taman Berjaya disita oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS), hari ini.

Tindakan pengosongan itu dipercayai ada kaitan dengan status kedua-dua wakil rakyat itu yang bukan lagi Adun mewakili kerajaan negeri dinaungi Pakatan Harapan (PH), selepas menyertai Bersatu.

Muhammad Hilman berkata, tindakan oleh kerajaan negeri dengan merampas kembali pusat khidmat itu sebagai tindakan yang merugikan rakyat.

“Tindakan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan kerajaan negeri menyita pusat khidmat dan menghalau saya keluar hanya akan merugikan rakyat DUN Gombak Setia.

“Pusat Khidmat itu adalah pejabat untuk saya bertemu rakyat, pimpinan tempatan dan warga yang memerlukan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Katanya, langkah itu juga seperti tindakan balas dendam susulan pihaknya tidak lagi bersama PH.

“Walaupun saya bukan lagi ADUN PH, namun saya dan Mohamed Azmin masih melaksanakan khidmat dan menyalurkan bantuan kepada warga Gombak.

“Jika MB dan kerajaan negeri mahu menghukum saya kerana tidak lagi menyokong PH, mereka sepatutnya berdepan dengan saya dan bukan menghukum rakyat dan pengundi Gombak Setia,” katanya.

Difahamkan, notis pengosongan dikeluarkan ke atas bangunan itu yang dahulunya adalah dewan awam sebelum dijadikan Pusat Khidmat oleh Adun terdahulu, Hasbullah Ridzwan sebelum diambil alih oleh Mohamed Azmin dan Muhammad Hilman.

Sementara itu, wakil MPS ketika dihubungi memaklumkan akan memberikan kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat. – Malaysiapost