Aiman Hanif
PENGGUNAAN nama “Muda” bagi parti politik yang diasaskan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencetuskan kontroversi apabila dikatakan menciplak nama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Muda.
Dalam satu ciapan di Twitter, NGO Muda yang berpangkalan di Johor kecewa apabila nama Muda diasaskan mereka “digunakan” Ahli Parlimen Muar itu.
“Reclaim Muda! Niat nak angkat suara anak muda, tapi ‘cilok’ idea anak muda. Macam mana tu? Ini tak kira tindas anak muda ke?.
“Saya kecewa apabila nama gerakan, dan logo yang saya sendiri hasilkan, diambil, dan diolah sedikit oleh SS (Syed Saddiq) seolah olah idea ini datang dari SS secara total. Tipu la kalau kata logo pada baju SS itu tidak menyerupai langsung dengan logo yang saya hasilkan,” ciap Twitter Muda.
Semalam, Bekas Ketua Armada Bersatu itu dilaporkan akan mendaftar parti politik baharu menggunakan nama Muda ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Beliau mendedahkan langkah itu ketika ditemubual oleh stesen radio berbahasa Inggeris, BFM, pagi semalam.
Syed Saddiq sebelum ini membayangkan akan memulakan satu gerakan politik dibarisi golongan belia.
Dalam pada itu, NGO Muda berkata badan itu telah ditubuhkan sejak lebih dua tahun lalu.
“Muda (Johor) merupakan satu gerakan yang tertubuh 2 tahun sebelum ini. Kehadiran Muda (Johor) adalah bertujuan untuk menjadi platform bagi orang muda mengekspresikan diri mereka.
“Selain daripada itu, Muda (Johor) juga telah terlibat dan bekerjasama dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan anak muda. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa Muda (Johor) telah bertapak dan bergerak aktif sebagai platform bagi anak muda,” ciap Twitter NGO itu lagi.
Sementara itu, pemilik akaun Twitter Razaisyam Rashid mempertahankan penggunaan nama Muda oleh parti Syed Saddiq.
Jelasnya Muda adalah perkataan yang boleh digunakan oleh mana-mana pihak. – Malaysiapost

