Khairuddin tuntut RM1 juta daripada Sin Chew Daily

0
1

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengemukakan tuntutan ganti rugi RM1 juta terhadap akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation.

Tuntutan dibuat berkaitan penerbitan dan perkongsian gambar serta kenyataan fitnah berhubung percutian Mohd Khairuddin dengan isterinya di Belanda pada 2016.

Merujuk kepada notis tuntutan berkenaan, Sin Chew Daily telah menyiarkan gambar terbabit berserta artikel bertajuk “Gambar Khairuddin berada di luar negara terdedah! Teresa Kok: Sebenarnya pergi melancong di tempat mana?” pada 1 September lalu.

Selain itu, penerbitan gambar dan artikel tersebut dikongsi dalam laman Facebook Sin Chew Daily pada 1 September lalu itu telah mendapat lebih 1,000 tanda suka, 300 perkongsian dan lebih 160 komen yang mana jumlah tersebut meningkat setiap hari.

“Kami diarah untuk mengumpul kenyataan dan berita di media berita dan media baharu berhubung penyebaran gambar peribadi lawatan anak guam kami dan isteri ke Belanda sekitar tahun 2016 iaitu ketika musim sejuk yang mengaitkannya dengan lawatan ke Turki pada 3 hingga 7 Julai 2020 ketika musim panas.

“Anak guam kami menegaskan beliau sering ke Belanda sejak 2016 hingga 2019 atas kapasiti peribadi dan urusan kerja termasuk berkunjung ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague untuk menghadiri perbincangan bagi membawa Israel ke muka pengadilan berkenaan isu kezaliman terhadap Palestin.

“Oleh yang demikian, kami diarahkan anak guam kami untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan menimbulkan persepsi jahat terhadap beliau,” kata firma guaman itu seperti dilaporkan Kosmo.

Tuntutan itu dikemukakan melalui firma guaman Zulpadli & Edham dalam notis bertarikh 14 September 2020 dan diterima oleh agensi media tersebut hari ini.

Selain tuntutan ganti rugi, Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation juga dikehendaki menghentikan fitnah terhadap Mohd Khairuddin serta memadamkan gambar dan artikel tersebut.

Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation juga diminta membuat permohonan maaf kepada Mohd Khairuddin tanpa syarat mengikut cara dipersetujui beliau dalam tempoh tujuh hari dari notis tersebut.

Agensi media terbabit juga perlu memberi jaminan dan aku janji secara bertulis tidak akan mengulangi penerbitan gambar mahupun artikel fitnah atau tuduhan serupa terhadap Mohd Khairuddin dalam tempoh tujuh hari dari notis berkenaan.

Prosiding undang-undang akan dimulakan terhadap Sin Chew Daily dan Sin Chew Media Corporation jika kedua-duanya gagal melaksanakan semua tuntutan tersebut. – Malaysiapost