Kerajaan setuju pendekatan baharu basmi kemiskinan

0
2

MESYUARAT Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memutuskan pemantauan secara khusus perlu dilaksanakan bagi memastikan strategi dan inisiatif-inisiatif ditetapkan dilaksana mengikut perancangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) itu  

Menurutnya, kerajaan memandang serius usaha-usaha untuk memastikan pelaksanaan projek dan juga program ini dapat memberi manfaat kepada rakyat.

“Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 ini akan bermesyuarat sebanyak empat kali setahun bagi memantau pelaksanaan sembilan fokus utama dan sembilan pemacu terpilih RMLT ini.

“Bagi tujuan itu, Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK-12 akan memantau secara khusus 20 perkara utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara 20 perkara utama yang akan dipantau secara khusus adalah prestasi pelaksanaan projek dan perbelanjaan pembangunan; membasmi kemiskinan tegar; menambah baik ekosistem TVET dan transformasi perkhidmatan awam.

“Menerima dan bersetuju dengan pendekatan baharu pembasmian kemiskinan tegar secara holistik yang akan diterajui bersama oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

“Program ini adalah berdasarkan pendekatan keseluruhan negara dan ia melibatkan pelaksanaan secara terancang yang merangkumi sektor awam, swasta, akademia serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO),” katanya.

Menurutnya, program itu akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keperluan lokaliti dan mengambil kira pelbagai dimensi termasuklah aspek pendapatan, pendidikan dan kemahiran serta kesihatan.

“Sebanyak 50 lokaliti dipilih bagi pelaksanaan dalam fasa satu bermula awal 2022.

“Dalam memilih lokaliti tersebut tumpuan akan diberikan di negeri-negeri dengan kadar kemiskinan tegar tertinggi. Program ini akan dilaksanakan di bandar dan luar bandar tanpa mengira etnik,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat bagi membincangkan agenda membasmi kemiskinan tegar itu akan diadakan dengan kerap bagi memastikan pelaksanaan program membasmi kemiskinan tegar berjalan dengan lebih berkesan.

“Mesyuarat hari ini turut mengambil maklum Prestasi Perbelanjaan Pembangunan (DE) Asas 2021 termasuklah isu-isu yang berkaitan serta keperluan kewangan pada tahun seterusnya.

“Bagi memastikan keberkesanan pemantauan dan penyelarasan pelaksanaan RMK-12, Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) telah diedarkan kepada semua Kementerian dan agensi bermula pada 23 November 2021.

“Prestasi pencapaian PPD, RMLT ini akan dipantau dengan menggunakan Sistem Pemantauan RMK-12 bermula awal 2022,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here