AMANAH akan mengkaji semula Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan jika golongan kleptokrasi kembali berkuasa.
Pengarah Komunikasinya Khalid Abd Samad, berkata Amanah bertegas sekiranya golongan kleptokrasi dilihat kembali berpengaruh ke atas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka Amanah akan mengesyorkan Pakatan Harapan (PH) mengkaji kembali keabsahan MoU yang ditandatangani.
“Amanah memperjuangkan sifat integriti dan keamanahan dalam politik.
“Sifat ini kami anggap sifat penting dan paksi kepada kebangkitan ummat dan negara,” katanya di Facebook, hari ini.
Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mendakwa kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu adalah penolakan rakyat terhadap kleptokrasi.
“Amanah menyedari kemenangan calon-calonnya dan calon-calon PH pada PRU ke-14 adalah atas sebab rakyat menolak kleptokrasi dan sifat khianat dalam pentadbiran negara.
“Bagi kami, kemungkinan golongan kleptokrasi kembali adalah hasil dari tindakan khianat politik melalui ‘Langkah Sheraton’,” katanya.
MoU antara kerajaan dan PH dimeterai pada 13 September lalu yang tujuan utamanya adalah untuk mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negara di samping menangani wabak Covid-19. – Malaysiapost

