Perang bendera makin rancak, meriah

0
3

SELEPAS kira-kira seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, perang bendera kelihatan semakin rancak di merata tempat.

Di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu, bendera pelbagai parti terpacak di sepanjang jalan utama menghala ke pusat bandar raya.

Berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, hanya satu atau dua jenis bendera berkibar, kali ini jumlahnya lebih banyak sejajar pertambahan parti bertanding.

Kalau dulu hanya ada bendera biru berlambang dacing Barisan Nasional (BN) dan bendera putih dengan lambang kapal layar Parti Warisan Sabah (Warisan).

Kali ini, turut berkibar ialah bendera Perikatan Nasional (PN) berwarna biru gelap, bendera jingga dengan lambang obor Parti Liberal Demokratik (LDP) dan bendera biru putih lambang jabat tangan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Perang bendera makin meriah di Sabah.

Tidak ketinggalan bendera biru, putih dan merah berlambang hati Parti Cinta Sabah (PCS) dan bendera merah putih berlambang peta Sabah mewakili Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

Bendera lain yang turut kelihatan ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Di lokasi tertentu, jarak antara bendera  hanya berselang tidak sampai semeter, menjadikannya kelihatan padat dan meriah.

Walaupun banyak bendera rosak akibat hujan dan ribut beberapa hari lalu, ia tidak mematahkan semangat pekerja parti untuk memasang semula bendera baharu.

Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan Petagas di Putatan, pagar tepi jalan di sepanjang laluan antara pekan Putatan dan Petagas menjadi sasaran utama pemasangan bendera.

Bagaimanapun, poster calon yang menjadi kebiasaan dipacak di sepanjang tepi jalan setiap kali pilihan raya belum meriah.

Hanya poster satu atau dua calon kelihatan di sekitar Putatan dan Kota Kinabalu, itupun tidak menyeluruh.

Satu kaedah kempen lagi digunakan pada PRN kali ini ialah melalui pemasangan poster gergasi memaparkan gambar Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Seorang wanita melalui kibaran bendera parti yang bertanding pada PRN Sabah

Sementara itu, di Kota Kinabalu, Datuk Bandar, Datuk Nordin Siman, mengingatkan parti politik memastikan bendera dan poster masing-masing tidak mengotori kawasan bandar raya.

Katanya, mereka perlu mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selepas seminggu kempen ini, saya dapati semua berjalan lancar dan tiada sebarang aduan diterima.  Mereka juga mengikuti peraturan ditetapkan SPR.

“Namun saya juga minta parti politik sentiasa menjaga kebersihan dan semua bendera serta poster perlu dipasang berdasarkan ketetapan Jabatan Pelesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” katanya.

Katanya, kegagalan pihak terbabit mengikuti peraturan ditetapkan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kempen Pilihan Raya iaitu deposit wang hangus.

Berdasarkan rekod Jabatan Pelesenan DBKK, katanya, lebih 50 permit dikeluarkan jabatan itu bagi pemasangan poster dan bendera parti di tujuh DUN sekitar bandar raya. – Malaysiapost