GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia selepas Perdana Menteri menyerahkan replika cek bernilai RM60 juta kepada wakil nelayan dan petani dalam satu majlis di Beaufort, Sabah, semalam.
Turut hadir di majlis itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Datuk Isnin Aliasnih.
Bersih 2.0 menerusi kenyataan berkata, dalam majlis itu Perdana Menteri dilaporkan turut mengulangi seruan untuk orang Sabah memilih parti yang selari dengan Putrajaya bagi menerima lebih peruntukan.
“Muhyiddin dengan jelas menggunakan kedudukannya dan sumber kerajaan untuk mempengaruhi pengundi di Sabah untuk mengundi calon yang selari dengan Perikatan Nasional,” katanya.
Oleh itu, Bersih 2.0 meminta orang ramai yang hadir ceramah di Beaufort membuat laporan polis, seterusnya menjadi saksi bagi sebarang siasatan.
Pertubuhan itu juga menyeru pengundi menolak calon yang melanggar undang-undang.
“Undilah calon yang mematuhi undang-undang dan menghormati semua undang-undang terutamanya Akta Kesalahan Pilihan Raya,” katanya.
Antara replika cek diserahkan Muhyiddin semalam termasuk lebih RM20 juta bantuan untuk petani dan nelayan; dana bantuan khas RM41.1 juta untuk pembiayaan mikro dan komersial bagi usahawan pertanian.
Selain bagi bantuan wang sara hidup nelayan bernilai RM21.1 juta yang akan memberi manfaat kepada 7,581 individu.
Terdapat juga cek replika untuk sumbangan zakat sebanyak RM340,000 dari Pertubuhan Peladang Nasional (Nafas) yang akan memberi manfaat kepada 1,700 penerima. – Malaysiapost

