Aiman Hanif
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal melucut hak baki akaun milik BN Johor Bahru apabila ditolak oleh hakim mahkamah tinggi jenayah hari ini.
Perkara itu dimaklumkan veteran Umno Johor Tan Sri Shahrir Samad di laman sosial Facebooknya pagi ini.
“Peguambela BN Johor Bahru, baru balik dari mahkamah dengan berita baik.
“Hakim mahkamah tinggi jenayah telah menolak permohonan Pendakwa Raya (bagi pihak SPRM) untuk menangguhkan keputusan mahkamah tinggi supaya baki dalam akaun bank BN Johor Bahru tidak dilucut hak.
“Maknanya SPRM gagal untuk melucut hak (civil forfeiture) baki akaun BN Johor Bahru,” katanya.
Pada 9 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang berjumlah RM1.31 juta daripada Jakel Trading dan Barisan Nasional (BN) Johor Bahru yang didakwa ada kaitan dengan skandal penipuan dana 1MDB.
Jakel Trading dan BN Johor Bahru didakwa menerima wang itu daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masing-masing berjumlah RM628,314 dan RM677,872.55.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas menimbangkan afidavit dan hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali dan TPR Mahadi Abdul Jumaat memberitahu mahkamah mereka akan memfailkan permohonan rasmi untuk penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan, dalam tempoh 14 hari dari hari ini.
Peguam Thevini Nayagam dan Habizan Habeeb Rahman mewakili Jakel Trading manakala BN Johor Bahru diwakili peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros
Shahrir berkata, peguambela BN berjaya memperolehi keadilan dari mahkamah yang menjadi benteng terakhir meneggakkan keadilan dari tindakan melampau badan penyiasat penguatkuasa dan badan pendakwaan kerajaan.
“Kerana sudah berjaya mempertahankan hak di mahkamah, kami meraikannya dengan makan mee rebus dan mee mamak,” tulisnya lagi.- Malaysiapost

