Fitri Nizam
KERAJAAN Persekutuan sudah ditipu oleh Goldman Sachs yang setuju memulangkan dana 1MDB sebanyak USD2.5 bilion sedangkan tuntutan asal Pakatan Harapan (PH) adalah USD7.5 bilion, kata bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Katanya, langkah terbaharu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) untuk mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB sebanyak USD300 juta di London, mengesahkan lagi syarikat pelaburan itu hanya perlu membayar USD2.5 bilion kepada kerajaan Malaysia, bukannya USD3.9 bilion.
Katanya, Goldman Sachs sudah tentu sedang bergembira berikutan laporan berita bahawa DOJ berusaha untuk mendapatkan semula aset tambahan bernilai USD300 juta (RM1.2 bilion) yang didakwa berkaitan dengan skandal 1MDB.
“Tindakan terbaharu ini menjadikan nilai keseluruhan aset yang diperoleh semula oleh DOJ berhubung skandal itu kepada USD2.1 bilion dan mengesahkan bahawa Goldman Sachs hanya perlu bayar USD2.5 bilion, dan bukan USD3.9 bilion kepada kerajaan Malaysia.
“Setakat ini, Amerika Syarikat (AS) telah mendapatkan semula atau membantu Malaysia mendapatkan semula aset bernilai hampir USD1.1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Goldman Sachs dengan bijak telah mendapatkan tawaran yang menguntungkan atas kerugian kerajaan Malaysia bagi menyelesaikan penglibatan jenayahnya untuk penyelewengan 1MDB bersama dengan pemimpin Malaysia dan kroni mereka.
“Sebagai pertukaran, tuduhan jenayah terhadap 17 pengarah dan bekas pengarah Goldman Sachs digugurkan oleh pihak berkuasa Malaysia.
“Syarikat itu akhirnya akan membayar USD2.5 bilion kepada kerajaan Malaysia dan bukan USD3.9 bilion, kerana jaminan USD1.4 bilion adalah daripada aset berkaitan 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa kerajaan seluruh dunia.
“Fakta menunjukkan AS sahaja telah berusaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB sebanyak USD2.1 bilion dan telah mendapatkan semula atau membantu Malaysia mendapatkan semula hampir USD1.1 bilion, yang jelas melebihi jaminan USD1.4 bilion yang diberikan oleh Goldman Sachs,” katanya.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, Goldman Sachs secara terbuka menegaskan bahawa jaminan USD1.4 bilion daripada aset berkaitan 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa kerajaan seluruh dunia tidak akan menyebabkannya melakukan pembayaran yang besar.
“Besar kemungkinan perbelanjaan Goldman Sachs hanya terhad kepada pembayaran tunai USD2.5 bilion yang dijanjikan.
“Kerajaan Persekutuan sekarang dengan jelas sudah ditipu oleh Goldman Sachs ketika ia sepatutnya berpegang pada tuntutan kerajaan PH untuk pengembalian penuh sekurang-kurangnya USD7.5 bilion.
“Dengan bersetuju untuk hanya USD2.5 bilion atau sepertiga daripada tuntutan asal USD7.5 bilion, Kementerian Kewangan telah menggadai kepentingan rakyat,” katanya.
Selain itu, Guan Eng berkata, DOJ sedang mendapatkan semula dana lebih USD4 juta yang dikesan berkaitan 1MDB daripada Riza Aziz, penerbit filem Hollywood dan anak tiri, Datuk Seri Najib Razak.
“Pihak berkuasa Malaysia secara kontroversi telah menggugurkan pertuduhan terhadap Riza setelah dia bersetuju untuk membantu mendapatkan semula hanya sebahagian wang yang dicuri.
“Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Kerajaan PN tidak ada akauntabiliti awam dan ketelusan dalam perkara melibatkan kepentingan awam,” katanya. – Malaysiapost

