YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang meninggal dunia, semalam.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” menurut kenyataan itu.
Allahyarham semasa hayatnya pernah memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dari tahun 1987 hingga 1996.
Allahyarham juga merupakan Ahli Parlimen Temerloh dan memegang kerusi tersebut dari tahun 1982 hingga 1999.
Allahyarham juga seorang yang amat arif dan berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan dunia korporat. – Malaysiapost

