PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian Tan Sri Sabbaruddin Chik sebagai satu kehilangan besar buat dirinya dan negara.
“Telah pulang kepada Allah SWT, seorang insan yang sebahagian kehidupan saya ‘terhutang’ kepadanya.
“Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, sifu dan mentor politik saya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin bin Chik telah meninggalkan kita semua selama-lamanya.
“Tan Sri meninggal dunia sekitar jam 8 malam ini setelah seminggu dimasukkan ke hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya menerusi Facebook.
Ismail Sabri turut berkongsi kisah beliau dengan Sabbaruddin menyatakan Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangannya dalam dunia politik.
“Akan selamanya menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya dari tahun 1987 sehingga 1996.
“Ketika saya berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantik saya sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.
“Pada tahun 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham. Ketika itulah, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham.
“Sesungguhnya Allahyarham seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara,” katanya.
Ismail Sabri berkata, segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah beliau lupakan dan akan dikenang sepanjang kehidupan ini.
Katanya, pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga buat negara.
“Saya berdoa agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Marilah kita semua sama-sama menghadiahkan surah al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik. Al-Fatihah,” katanya.- Malaysiapost

