Tanah runtuh bukan faktor pembalakan, tapi hujan – JKR

0
2

TANAH runtuh di Jalan Persekutuan Laluan FT 185 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley dekat Cameron Highlands semalam bukan disebabkan pembalakan haram seperti yang didakwa.

Sebaliknya, ia berpunca daripada faktor hujan berterusan sejak dua minggu lalu, yang menyebabkan kelemahan pada struktur tebing jalan tersebut.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali yang menjelaskan lokasi tanah runtuh itu tidak tersenarai sebagai lokasi cerun berisiko tinggi dan kejadian semalam luar jangkaan pihaknya.

Katanya, terdapat tiga cerun berisiko tinggi dikenal pasti di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Blue Valley iaitu antara Seksyen 38 dan 46.

“Kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 ini merupakan insiden pertama kali.

“Siasatan juga mendapati tanah runtuh itu berlaku berikutan taburan hujan konsisten sejak dua minggu lalu yang mana 217 milimeter tolok hujan direkodkan sekali gus melemahkan keseluruhan struktur tebing tersebut.

“Selain itu, runtuhan ini merupakan besar dengan berukuran 10,000 meter padu,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazzete.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, JKR akan menjalankan kerja-kerja pembersihan berikutan jumlah tanah yang tinggi menghalang kedua-dua arah diikuti pengurusan trafik sebaik laluan itu dibuka semula.

Selain itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan di cerun dengan bantuan pakar bagi menentukan langkah penyelesaian jangka panjang.

“Sekurang-kurangnya kita perlukan masa seminggu untuk membersihkan kawasan ini dan laluan ini dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada 9 Disember ini.

“Bagaimanapun, kos untuk membaiki cerun itu masih belum ditentukan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan, setakat ini dua mangsa dilaporkan maut akibat terperangkap dalam timbunan tanah runtuh tersebut.

Mereka terdiri daripada pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31 yang berasal dari Tanjong Piandang manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, berasal dari Klang, Selangor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here