Omicron: ‘Rakyat jangan panik, kerajaan sudah ambil langkah pantas’ – Najib

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menasihati rakyat supaya tidak panik dengan laporan kes pertama varian dibimbangi (VOC) Omicron di Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan sudah mengambil langkah pantas menyekat pelawat dari negara-negara tertentu sebaik sahaja Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengisytiharkan Omicron sebagai ‘variant of concern’.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, pada masa kita waspada, kita juga jangan terlalu menakut-nakutkan diri sehingga lebih banyak lagi maklumat berhubung varian ini diketahui.

“Ada juga laporan-laporan awal yang kata walaupun varian Omicron ini boleh menular dengan kadar lebih laju berbanding varian Delta tetapi mereka yang dijangkit Omicron hanya mempunyai gejala ringan sahaja dan sembuh dengan kadar laju,” katanya menerusi Facebook.

Najib berkata, beliau berharap perkara itu akan dapat disahkan komuniti perubatan dunia pada minggu-minggu mendatang.

Namun, katanya, tidak salah untuk negara bersedia dengan memulakan kerja meningkatkan kapasiti perubatan, ambulans, fasiliti kuarantin, stok perubatan dan set pakaian pelindung diri (PPE) sebagai langkah persediaan.

“Tidak salah juga bagi Rakyat Malaysia lebih menerima dos penggalak sebagai langkah pencegahan.

“Pada ketika ini, dos penggalak merupakan satu-satunya cara untuk kita lebih selamat bagi menghadapi varian Omicron.

“Saya sendiri sudah menerima dos ketiga ini dengan selamat sebulan dahulu.Tetap cergas dan sihat,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, sekiranya angka jangkitan baharu Covid-19 naik semula, beliau mencadangkan kerajaan melaksanakan ‘circuit breaker’ atau lockdown ketat dan singkat.

“(Lockdown ketata) antara lima hingga tujuh hari di peringkat negeri yang mencatatkan kadar penggunaan katil ICU yang tinggi dan bukan pukul rata bagi seluruh negara.

“Sebab ekonomi dan kehidupan rakyat tidak akan bertahan lagi sekiranya darurat serta lockdown PKP separuh masak yang berbulan-bulan lamanya dilaksanakan lagi seperti bawah kerajaan PN dahulu.

“Mari kita sama-sama doakan perlindungan yang terbaik bagi Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Malaysia merekodkan kes pertama varian dibimbangi (VOC), Omicron, membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Khairy berkata, pelajar terbabit sudah diarah menjalani kuarantin diri, serta semua saringan kepada kontak rapat individu berkenaan juga sudah dijalankan dan keputusannya adalah negatif. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here