Keseluruhan 139 kes positif Covid-19 Sekolah Seri Puteri

0
2

JUMLAH keseluruhan kes positif Covid-19 membabitkan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya setakat jam 3 petang tadi adalah sebanyak 139 kes iaitu 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas di sekolah berkenaan.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ri Ngadiman berkata, dalam kejadian kluster yang diumumkan sebagai Kluster Persiaran Tasik pada 29 November itu, secara keseluruhan seramai 946 individu sudah disaring setakat ini.

Beliau berkata, saringan membabitkan 849 pelajar, 59 guru dan 38 petugas dan berjaya mengesan 139 kes positif

“Kes-kes positif dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRCB), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, manakala kontak rapat akan ditempatkan di stesen kuarantin kerajaan.

“Kesemua 139 kes positif berada dalam keadaan stabil dalam kategori 1 dan kategori 2A (bergejala tetapi risiko rendah),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Sha’ri berkata, kes indeks bagi kluster berkenaan adalah seorang guru sekolah terbabit yang didapati bergejala pada 22 November lalu sebelum disahkan positif Covid-19 pada 24 November lalu.

“Hasil saringan kontak rapat kes indeks telah mengesan tujuh lagi kes iaitu enam pelajar dan seorang lagi guru. Kesemua enam pelajar dirujuk ke PKRC 2.0 MAEPS, manakala dua guru berkenaan menjalani pengasingan di rumah.

“Seterusnya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah melakukan saringan semalam ke atas 240 pelajar dan 65 kes baharu positif dikesan,” katanya.

Beliau berkata, PKD Sepang dan pihak sekolah bekerjasama rapat dalam menangani kluster ini dan sebarang maklumat terkini mengenai Kluster Persiaran Tasik akan dikemaskini untuk makluman umum dari semasa ke semasa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here