SEBANYAK 5,000 kursus akan ditawarkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan melalui platform bersepadu atau ‘single window’ untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran ditawarkan Kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 220,000 peserta dijangka akan menyertai pelbagai kursus melalui platform bersepadu berkenaan yang akan diakses lebih sejuta rakyat Malaysia pada tahun hadapan
Menurutnya, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) bakal menggalas tanggungjawab lebih besar sebagai agensi pusat untuk semua program pembangunan modal insan, bukan sahaja untuk golongan pekerja bahkan untuk semua rakyat negara ini.
“Selaras dengan misi HRD Corp meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia dengan pembelajaran sepanjang hayat dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan, saya berharap HRD Corp dapat memberikan manfaat serta impak besar kepada negara untuk jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Jenama HRD Corp & Platform Sehenti Program Kemahiran, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Ismail Sabri berkata, sejak penubuhannya pada 1993, HRD Corp telah memainkan peranan yang signifikan membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi melalui pelbagai skim latihan dan meningkatkan produktiviti bidang perindustrian negara.
Katanya, HRD Corp juga melahirkan HRD Corp Placement Centre (HPC), portal sehenti pemadanan dan penempatan pekerjaan yang telah menyediakan hampir 40,000 penempatan pekerjaan semenjak April tahun ini.
“Sepanjang tahun lalu, HRD Corp telah mengagihkan hampir RM420 juta untuk program latihan kemahiran majikan berdaftar yang merangkumi lebih daripada 416,000 pekerja yang menjalani pelbagai skim latihan kemahiran.
“Pada tahun ini, jumlah pungutan levi dijangka mencecah RM680 juta dan sebahagiannya telah digunakan untuk melatih 500,000 pekerja,” katanya.
Mengulas lanjut, berdasarkan pencapaian yang memberangsangkan ini, beliau yakin HRD Corp akan menjadikan pengurusan latihan lebih sistematik dan dapat memberi tumpuan penuh terhadap latihan mengikut keperluan semasa pihak industri.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga telah menetapkan semua latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran.
Menurutnya, ia diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu Kementerian Sumber Manusia yang dikendalikan oleh HRD Corp bagi mengelakkan pertindihan. – Malaysiapost

