Pejuang gesa sekat pasport Rosmah

0
1

PERBUATAN Datin Seri Rosmah Mansor yang telah gagal hadir pada prosiding Mahkamah Rayuan yang ditetapkan hari ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati sistem undang-undang negara.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Ulya Aqamah Husamudin, berkata lebih mengecewakan mahkamah tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan.

“Bayangkan jika perkara yang sama dilakukan oleh rakyat biasa, sudah pasti waran tangkap akan dikeluarkan dengan segera.

“Adakah undang-undang negara istimewa bagi sesetengah individu yang mempunyai kuasa?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, perbuatan itu jelas menunjukkan Rosmah tidak menghormati undang-undang dan tidak sepatutnya diberi sebarang kelebihan.

“Cukuplah peluang yang diberi disalah guna dan diambil kesempatan.

“Sekembalinya pulang ke tanah air, dokumen perjalanan dan pasport Rosmah Mansor wajib ditarik semula dan disekat.

“Jangan beri ruang untuk beliau ulangi kegagalan ini dan bertindak seolah-olah beliau kebal dari tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, perlu diingat bahawa Rosmah dibicarakan dan didakwa atas kesalahan yang cukup berat, melibatkan salah guna kuasa, rasuah dan pecah amanah yang kesannya besar kepada rakyat dan negara.

“Mengapa perlu diberikan keistimewaan kepada individu seperti ini?” soalnya.

Terdahulu Mahkamah Rayuan melaksanakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap Datin Seri Rosmah Mansor selepas beliau gagal hadir pada prosiding rayuannya hari ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah, memberi peluang kepada Rosmah hadir Isnin depan bagi mengikuti prosiding rayuan berkenaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan Rosmah mendapatkan semula pasportnya untuk ke Singapura bagi menemani anak perempuannya bersalin.

Rosmah hanya dibenarkan ke Singapura dari 22 Oktober dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here